Powered by Blogger.

Followers

Ayam kampung paling istimewa

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
seleramingguan@utusan.com.my
Foto HARUN OSMAN

MASAKAN kampung sering menjadi pilihan warga kota untuk menikmati sajian tengah hari. Masakan yang ringkas, sedap dan menyelerakan itu mengetengahkan himpunan lauk pauk istimewa dari desa. Bagi pengemar sajian masakan ayam kampung, boleh berkunjung ke Restoran Mat Ayam Kampung yang terletak di Seri Kembangan, Selangor bagi menikmati masakan berkenaan.

Bagi mempromosikan premis yang baru beroperasi sejak dua bulan itu, restoran itu menawarkan promosi istimewa, nasi bungkus standard ayam kampung yang lengkap dengan hidangan nasi putih, sayur campur, ayam goreng kampung, daging cincang dan telur masin dengan harga RM6.00 untuk setiap hidangan.

Bagaimapun, sekiranya pengunjung ingin menikmati juadah berkenaan di restoran berkenaan, harga bagi hidangan yang sama adalah RM6.90 termasuk minuman. Pelanggan bebas untuk menikmati puluhan lauk pauk yang menggunakan ayam kampung sebagai sajian dalam masakan termasuk hidangan ayam goreng, gulai dan sup.

Pemiliknya, Madrosham Muhamad, 40, berkata, antara menu istimewa yang ditawarkan ialah sup ayam kampung yang dimasak secara masakan ala Thai dengan menggunakan bahan-bahan seperti rempah sup bunjut, batang seleri dan tomato. Selain itu, ada juga gulai ayam kampung masak lemak dan ayam goreng kampung yang enak dimakan ketika masih panas bersama nasi putih.

Lauk pauk lain ialah daging cincang, daging kerutup, gulai nangka, kerabu perut, ikan keli dan ikan bakar. Bagi melengkapkan lagi selera makan, ada juga aneka jenis ulam kampung yang boleh dimakan bersama sambal belacan atau sambal tempoyak.

Pelanggan yang datang ke restoran itu mempunyai pilihan untuk menjamu selera iaitu sama ada secara layan diri ataupun dihidang. Lazimnya, mereka yang datang secara beramai-ramai dan ingin merasakan menikmati makanan seperti suasana di rumah akan memilih makan secara berhidang.

Bagi yang ingin mengejar waktu, khususnya pekerja yang keluar rehat untuk makan tengah hari, lebih sesuai memilih secara layan diri.

Madrosham yang berpengalaman dalam bidang perniagaan berkata, ilham membuka restoran itu tercetus beberapa tahun lalu apabila menjadi pelanggan tetap di sebuah restoran di ibu negara yang menjual menu istimewa hidangan ayam kampung menyebabkan lama kelamaan turut tertarik, mencuba perniagaan sedemikian.

Hidangan ayam kampung mempunyai ramai peminat daripada pelbagai bangsa walaupun harganya agak mahal sedikit berbanding ayam daging, bagaimanapun pelanggan tidak kisah untuk berbelanja lebih sedikit untuk memenuhi selera mereka.

''Lebih kurang tujuh tahun juga saya menjadi pelanggan tetap di situ. Lalu, saya terfikir mengapa tidak cuba mengembang perniagaan lain dan membuka restoran sendiri kerana keluarga saya sendiri memang pernah berniaga makanan," jelasnya.

Berhati-hati merangka strategi, lantas dia mendapatkan khidmat tukang masak berpengalaman bagi memastikan pelanggan sentiasa terbuka selera untuk datang ke restoran ini dengan masakan disediakan.

Katanya, restoran dua tingkat itu turut menyediakan ruang untuk sesiapa yang ingin mengadakan majlis keramaian atau jamuan makan. Pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat itu tidak perlu membayar sewa ruang disediakan, sebaliknya hanya membayar pesanan untuk harga makanan saja.

Bahagian atas tingkat dua restoran ini yang lengkap dengan pendingin hawa, dikhususkan untuk pelanggan jika ingin mengadakan sebarang majlis atau acara tertentu. Ruang atas agak luas dan boleh menempatkan 200 orang, jadi tiada masalah untuk tujuan berkenaan.

Restoran itu juga mampu memenuhi sebarang tempahan dengan menghubungi Mat di talian 012-9550574 atau 017-3995994 (Remy)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

Zailani Zakaria said...

Dah pegi cuba ari tu. tengok cerita dlam paper mcm best sangat.. tak sedaplah..biasa aje..ayam kampungnya pun mcm tak fresh.